Search This Blog

Thursday 21 April 2011

CERITA SEORANG SAHABAT….

Kisah ini bukan bertujuan untuk mengaibkan maruah sesiapa, tetapi untuk dijadikan ikhtibar kepada kita.

Saya mempunyai sahabat bernama Zana ( bukan nama sebenar ). Selama saya bersahabat dengan Zana, saya tidak pernah mendengar dia bercerita mengenai keluarganya. Sampai suatu saat, saya bertanya mengenai keluarganya. Zana mula bercerita;

Saya mempunyai dua orang adik-beradik. Abang sulung dan saya. Ibu bapa saya sudah bercerai kira-kira 15 tahun yang lalu. Kisah bermula bapa saya berkahwin dengan ibu saya selepas mereka tamat SPM. Perkahwinan mereka tidak direstui oleh nenek saya ( ibu kepada ibu saya ). Alasannya, ibu saya masih muda. Pada mulanya, perkahwinan ibu bapa saya bahagia. Masalah timbul apabila bapa bertukar pekerjaan kepada kerani (sebelum ini pekerja kilang). Memanglah gaji kerani ni kecil tetapi kerja dengan kerajaan. Ada pencen. Ibu pulak tidak bekerja.

Oleh kerana hendak menampung keluarga yang kian membesar, bapa saya buat macam-macam kerja partime. Tiada masa bersama keluarga. Ibu pula terasa kerana bapa jarang meluangkan masa bersama keluarga. Kerana bapa tiada di rumah, ibu kerap pulang ke rumah ibunya. Kekerapan ibu pulang ke rumah nenek, ibu bertemu dengan dua pupunya, Zaman (duda kematian isteri, tiada anak). Kebetulan rumah ibu mereka berdekatan.

Dari pertemuan itu, hubungan mereka semakin akhrab. Mereka sering bertukar cerita. Pak cik Zaman sering membawa kami berjalan-jalan dengan nenek pada hujung minggu. Serta sering menghantar kami pulang ke rumah dari rumah nenek pada hujung minggu (ketika itu saya berusia 5 tahun dan abang berusia 7 tahun).

Hubungan bapa dengan ibu semakin dingin. Apabila bapa pulang, dia langsung tidak memperdulikan ibu.Balik, makan dan tidur. Pagi-pagi dah pergi kerja. Malam baru, pulang. Ibu sudah lama memendam rasa.

Bila dia ingin memulihkan hubungan mereka yang semakin dingin, bapa pula banyak menghabiskan masa dengan bekerja. Hujung minggu pula, bapa menghabiskan masa dengan rakan-rakannya. Apabila bapa menyedari hubungan ibu dan pak cik Zaman, keadaan sudah terlambat. Akhirnya, ibu sudah membuat keputusan untuk berpisah dengan bapa.

Nasi sudah menjadi bubur. Di saat hari lahir ibu yang ke 26, ibu telah berterus-terang dengan bapa mengenai perasaannya. Ibu meminta dia dilepaskan. Bapa keberatan. Alasan ibu berikan, selama ini ibu bukannya minta kemewahan tapi kasih sayang dan perhatian dari bapa. Tetapi apabila pulang dari kerja, bapa jarang bercakap dengan ibu. Apatah lagi,bergurau senda. Lantas, ibu kesunyian.

Akhirnya, mereka berpisah. Bapa mengambil keputusan untuk membawa kami berdua tinggal dengan ibunya. Ibu pula membawa diri ke bandar dan bekerja. Selepas setahun, ibu berkahwin dengan pak cik Zaman. Mereka dikurniakan 3 orang anak. Bapa pula menduda hingga kini. Dan tinggal bersama nenek. Abang masih belajar di UK. Kadang-kadang, kami berdua pulang ke rumah ibu. Dulu kami membenci pak cik Zaman dan adik-adik. Tapi bila melihat ibu sudah bahagia bersama pak cik Zaman, kami berdua redha. Saya tahu bapa berasa menyesal akibat mengabaikan terhadap ibu. Kerana dia sering berkata, “abah tidak mampu menjadi ketua keluarga yang baik”.

Bila mendengar kisah sahabat saya, saya berasa sedih. Terasa bersyukur kepada Allah kerana memberikan keluarga yang lengkap dan bahagia.

Moral dari cerita Zana :
• Seorang suami perlu menjaga hubungan dengan isteri. Komunikasi dua hala penting dalam sesebuah rumah tangga.
• Seorang suami / isteri tidak perlu menceritakan hal rumahtangga kepada orang lain. Cuba elakkan orang ketiga.
• Hargailah keluarga anda. Keluarga adalah pinjaman Tuhan. Kalau pinjaman ditarik balik, menyesallah anda seumur hidup. Luangkan masa dengan keluarga.
• Dalam sesuatu perkahwinan, kita perlu saling melengkapi antara satu sama lain.
• Dalam perkahwinan, perla ada rasa ‘semakin hari, semakin sayang’ lebih daripada zaman bercinta.
• Bila sudah berkahwin, imbangkan antara kerjaya dan keluarga.
• Ingat jika sesuatu terjadi pada perkahwinan, anak-anak yang menjadi mangsa.